Tanggal 14 Mei ini, Hari Belia, Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan 88 acara sempena Hari Belia Negara 2010 bertema manifestasi tenaga muda selama tiga hari bermula 14 Mei di Putrajaya bagi memberi ruang generasi muda mengembangkan tenaga mereka dalam pelbagai bidang.
Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, sambutan itu merangkumi pelbagai sektor dan bidang bertemakan Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara dan dijangka menarik 250,000 pengunjung ke acara tersebut.
Menurutnya, sasaran jumlah itu berdasarkan acara menarik disediakan seperti pertandingan pasukan sorak, pertunjukan auto dan sukan futsal.
Kementerian berharap, keputusan mengadakan pelbagai acara ini adalah antara usaha mendekati belia.
Bagaimanapun, orang ramai khususnya kalangan belia berharap ada acara yang melibatkan pengisian jiwa dan memperkasa semangat patriotik dalam kalangan belia. Mereka juga mengharapkan acara seperti ceramah, seminar, diskusi dan perbincangan tentang hala tuju belia di negara ini diadakan.
Perbincangan seminar mestilah mengambil pandangan tokoh cendekiawan belia dan ahli akademik bagi memperkasa jiwa belia dan remaja. Isu-isu mengenai salah laku dan gejala sosial dalam kalangan belia mestilah diatasi dengan segera sebelum mereka yang menjadi harapan negara hilang arah tujuan.
Nilai harga diri dan keyakinan diri mereka mestilah dipupuk melalui seminar, perbincangan yang serius, kem motivasi, pemulihan semangat yang berterusan dari semasa ke semasa.
Pembangunan dan gaya hidup belia mestilah seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi keseimbangan kehidupan seterusnya. Perubahan dan pembangunan mestilah mengikut peredaran semasa dan tidak hanyut dalam budaya hiburan yang melampau dan melalaikan golongan belia.
Golongan belia tidak harus hanyut dalam pertembungan nilai lama dan baru apabila mereka berhijrah ke tempat baru. Nilai-nilai baik yang diwarisi mestilah dikekalkan bagi memperkasa jiwa belia.
Kajian menunjukkan dalam tahun 2020, sebanyak 43 peratus penduduk Malaysia adalah golongan belia. Pada tahun 2010 golongan belia dijangka meningkat kepada 11.6 juta orang. Golongan inilah yang harus diperkasa jiwa mereka. Program gaya hidup sihat mestilah menjadi landasan kepada usaha memperkasa golongan belia.
Kesimpulannya, bagi memperkasa jiwa belia dan remaja, usahanya bukan hanya perlu dipikul oleh kerajaan, tetapi swasta dan pertubuhan belia dalam memupuk, memperkasa jiwa remaja.
Pembangunan jiwa meliputi ilmu, kemahiran dan pelbagai pengetahuan dan keimanan amat penting kepada seluruh golongan belia di negara ini.
** Penulis ialah penyair, bekas pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi
עדיף לא לבהות בשמש בזמן ליקוי חמה.
6 years ago

No comments:
Post a Comment